BERTEMAKAN ‘Barbeque Wedding’.. Farid Kamil dan pasangannya, bintang jelita berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle

KELAINAN...majlis resepsi pelakon popular, Farid Kamil Datuk Dr Zahari dan pasangannya, bintang jelita berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle Danny Beeson bertemakan ‘Barbeque Wedding’.


KELAINAN...majlis resepsi pelakon popular, Farid Kamil Datuk Dr Zahari dan pasangannya, bintang jelita berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle Danny Beeson bertemakan ‘Barbeque Wedding’.


Foto




BERTEMAKAN ‘Barbeque Wedding’, majlis resepsi pelakon popular, Farid Kamil Datuk Dr Zahari dan pasangannya, bintang jelita berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle Danny Beeson berlangsung dalam suasana ringkas tapi cukup bermakna di Taman Ekuestrian Putrajaya, Presint 5, di sini, malam kelmarin.
Tepat jam 9.10 malam, pasangan mempelai diarak masuk ke dalam taman kayangan dengan menaiki kereta kuda yang dihias indah bagaikan dalam cerita dongeng menuju ke pelamin rekaan Rita Collections.
   
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Pada malam itu, tetamu turut disajikan dengan persembahan kuda daripada Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membabitkan sebanyak lapan ekor kuda untuk perarakan ‘Tean Paging’ . Selain itu, persembahan daripada pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan pertunjukan silap mata.





Jika Farid nampak segak dengan sut PDRM, Diana yang berbadan dua tetap tampil menawan dengan busana sedondon warna putih rekaan Mimpi Kita serta sentuhan solekan daripada Chot.

Tidak lengkap majlis resepsi tanpa dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air seperti Fazura, Ummi Nazeera, Nad Zainal, Maya Karin, Sazzy Falak, Nadia Nisa, pengarah Osman Ali, produser dan pengarah Sharad Sharan serta ramai lagi. Tidak ketinggalan, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, David Teo dan isterinya, Jane Lim.

Sambil kira-kira 600 tetamu menjamu selera dengan juadah barat ‘Asado Argentina’ ,mereka turut dihiburkan dengan persembahan hiburan daripada barisan artis popular tanah air iaitu Adira dengan lagu Ombak Rindu, Amir Jahari, Suffian Aji Boy dan Zul Huzaimy.

Selepas majlis merenjis dan makan beradab, pengacara majlis turut mengumumkan kejutan daripada ibu bapa Farid yang bermurah hati untuk menghadiahkan sebuah kereta mewah BMW Turbo buat pasangan mempelai yang baru sebulan melayari hidup sebagai suami isteri.

Secara peribadi, Farid mengakui persandingan di kelab ekuestrian itu adalah gabungan impian perkahwinannya dengan Diana.

“Diana memang impi untuk buat majlis persandingan ‘garden wedding’ dan saya pula ingin paparkan elemen baru iaitu istiadat berkuda pada majlis resepsi kami.

“Pada mulanya, saya merancang untuk buat persembahan kami berdua menunggang kuda tapi terpaksa ditukar pada saat akhir kerana memikirkan keadaan Diana yang mengandung,” katanya.

Ditanya mengenai banyak kekurangan pada majlis malam itu seperti bekalan elektrik terputus beberapa kali dan makanan yang tidak cukup untuk tetamu yang hadir, Farid berkata, dia dan Diana memohon maaf atas kejadian yang tidak disengajakan itu.

“Sebenarnya, perancangan untuk majlis resepsi malam ini dibuat dengan teliti sebab itu saya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku. Saya tidak terkejut dengan kejutan hadiah dan persembahan tapi kekurangan dalam majlis pada malam inilah yang paling ‘best’ dan mengejutkan.

“Terus terang, kami buat majlis pada malam ini mengikut kemampuan kewangan dan hanya inilah yang kami mampu buat. Kami juga buat majlis ini dengan menggunakan duit sendiri tanpa penajaan daripada mana-mana pihak.

“Memang ada beberapa pihak yang berminat ingin menaja tapi kami belajar daripada pengalaman artis lain yang pernah mengalami penaja menarik diri pada saat akhir dan kami ambil langkah selamat ini untuk mengelakkan perkara seperti itu berlaku pada majlis resepsi kami pula,” katanya.


Diana amalkan petua ibu mentua

BARU sebulan melayari bahtera rumah tangga, Diana yang sudah berbadan dua mengakui mula menyesuaikan diri dengan statusnya sebagai isteri dan bakal ibu muda.

Walaupun sibuk membuat persiapan majlis resepsi dan majlis persandingan sebelah keluarga Farid di Kedah selepas ini, Diana tetap tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan sempat mencuri masa yang ada untuk memasak makanan kegemaran Farid di rumah.

“Saya sentiasa ingat dengan petua ibu mentua iaitu jika ingin rumah tangga bahagia, kita kena jaga makan minum suami sebaik mungkin.

“Farid pula memang suka makanan tradisi Melayu seperti Nasi Tomato dan Ayam Masak Lemak Cili Api dengan Nasi Lembik. Saya juga sudah belajar memasak makanan kegemarannya itu. Kalau masakan barat lagi mudah iaitu sosej dan sebagainya untuk sarapan pagi,” katanya.

Menyentuh mengenai kandungannya pula, kata Diana, dia tidak berdepan dengan masalah seperti ‘morning sickness’ dan sebagainya lagi pada trimester awal kehamilan ini.

“Saya juga seorang yang aktif sejak dulu dan tidak bercadang pun untuk perlahankan aktiviti seni walaupun kini mengandung. Saya juga akan teruskan aktiviti seni seperti biasa tetapi akan terima tawaran watak yang lebih sesuai,” katanya.

Sementara itu, Farid dan Diana yang menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri di Hotel Flamingo By The Lake, Kuala Lumpur tanggal 3 November lalu.