Bomba Kelantan Minta Siap Sedia Hadapi Banjir


KOTA BAHARU – Rakyat Kelantan terutama yang menetap di kawasan rendah diminta membuat persiapan yang perlu untuk menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata, nasihat itu dikeluarkan berikutan air sungai utama di negeri ini dilaporkan mula meningkat.


“Peningkatan paras air sungai berikutan hujan yang berterusan sejak seminggu lalu. Saya nasihatkan mereka bersiap sedia dan jika tiba masanya untuk berpindah jangan tunggu sehingga diarahkan berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh dan menubuhkan unit rondaan baharu bagi memantau kawasan rendah.

Jelas beliau, unit itu akan bergerak ke kawasan tertentu untuk memberi maklumat terkini keadaan banjir kepada bilik kawalan bomba Kelantan selain dibantu unit perubatan kecemasan dan unit kaunseling.

“Jika keadaan buruk, kita akan meminta bantuan jabatan Bomba di negeri-negeri lain,” jelas beliau.

Namun, katanya, keadaan di Kelantan masih terkawal setakat ini dan belum ada kawasan ditenggelami air.

Tetapi semua sungai utama di Kelantan kini hampir melepasi paras normal kecuali Sungai Golok yang telah melepasi amaran iaitu pada bacaan 8.46 meter pada pukul 3 petang ini.

Paras amaran di sungai itu adalah pada lapan meter manakala bahaya sembilan meter dan keadaan cuaca di Kelantan kini hujan renyai yang disusuli hujan lebat terutama di kawasan pedalaman. – mynewshub.my