Mangsa Banjir Di Pantai Timur Kini Hampir 11,000


Mangsa Banjir Di Pantai Timur Kini Hampir 11,000
KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin buruk Selasa petang dengan maklumat terkini menunjukkan lebih 10,800 mangsa dipindahkan berbanding lebih 6,000 mangsa pada sebelah pagi.
Seramai 5,297 mangsa dipindahkan di Terengganu berbanding 2,594 pada sebelah pagi dan jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 3,218 berbanding 1,963 pada sebelah pagi, menurut portal rasmi kerajaan negeri masing-masing.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara pula, sejumlah 2,376 mangsa dipindahkan di Pahang berbanding 1,743 pada pagi manakala mangsa banjir di Johor kekal 16 orang.
Di TERENGGANU, mangsa banjir di Hulu Terengganu meningkat kepada 1,052 orang Selasa petang manakala Kuala Terengganu menyaksikan pertambahan 91 mangsa kepada 808.
Bilangan mangsa di Besut ialah 1,096 diikuti Dungun (744), Setiu (717), Kemaman (611) dan Marang (269).
Pusat penempatan banjir yang beroperasi di Terengganu ialah di daerah Besut (16), Dungun (12), Hulu Terengganu (16), Kemaman (13), Kuala Terengganu (lapan), Marang (10) dan Setiu (18).
Di KELANTAN, jumlah terbesar mangsa dipindahkan ialah di Pasir Mas iaitu 2,049 diikuti Kuala Krai (355), Kota Baharu (264), Tanah Merah (217), Pasir Puteh (245), Machang (47) dan Tumpat (41).
Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai; Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah; dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang masih mencatat bacaan di atas paras bahaya, menurut portal rasmi kerajaan negeri itu.
Di PAHANG, 2,152 mangsa dipindahkan di Kuantan, Pekan (167) dan Rompin (57).
Dalam pada itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara di Pekan berharap mereka bersabar. – BERNAMA