Nasib Malang Si Tenggiling



NOR ERNITA IBRAHIM sudah mempunyai tiga orang anak tetapi dia begitu sayang sekali anaknya yang satu ini sehingga sanggup membawanya kemana-mana waima ketika membeli barangan dapur di pasar raya.
Tidur malam wanita berusia 29 tahun itu tidak pernah lena kerana wajib menyusukan anak yang diberi nama Dino setiap tiga jam sekali.

Sebenarnya, Dino merupakan seekor tenggiling yang masih bayi. Dianggarkan baru berusia lebih kurang dua bulan manakala Ernita sudah membelanya selama sebulan setengah.
Dino dijumpai oleh pekerja ladang kelapa sawit berdekatan Paya Indah Wetland, Dengkil lalu diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menjadi lokasi Ernita bekerja.
Bekerja sebagai pembantu hidupan liar, bahagian In-Situ Konservasi Hidupan Liar, Ernita terpaksa mengamalkan kaedah menyuap paksa.
Puting botol susu yang digunakan adalah yang paling kecil tetapi masih susah untuk menyusukan haiwan yang berada dalam kategori terancam itu. Jika tidak dipaksa, risiko Dino mati sebelum matang amat tinggi.
Bukaan mulut tenggiling kecil sama dengan fitrahnya yang memakan semut dan anai-anai.
“Disebabkan ia sudah biasa dengan manusia jadi, Dino tidak bergulung apabila disentuh kecuali pada waktu tidur sahaja,” katanya ketika ditemui di Dengkil, Selangor.
Sebelum ini, Ernita pernah membela seekor anak landak yang disifatkan lebih susah untuk dibela kerana bulunya yang keras dan tajam.
Biarpun kelihatan jinak, Penolong Pengarah Kanan Perhilitan, Joil Bombon, 36, berkata, tenggiling merupakan haiwan prasejarah dan tidak mungkin ia dapat hidup sebagai binatang peliharaan.
Apabila Dino berusia tiga bulan nanti, Ernita akan cuba menyuap makanan yang sesuai dengan tabiatnya seperti ulat berbanding sekarang yang hanya menerima susu rendah lemak.
Sesudah ia biasa dengan makanan keras sebegitu, Dino akan dilepaskan ke habitat asal.
Perancangan setakat ini untuk Dino adalah ia akan dibebaskan di Paya Indah Wetlands kerana kawasan tersebut sangat sesuai dan sudah terdapat tenggiling yang hidup liar di situ.
Haiwan dilindungi
Tenggiling merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia. Ia disenaraikan dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Haiwan itu sama sekali tidak boleh dipelihara, disimpan, diniaga atau sebagainya. Tiada permit khas yang dikeluarkan bagi pemilikan oleh Jabatan Perhilitan.
Terdapat lapan spesies tenggiling di dunia tetapi hanya satu yang didapati di Malaysia iaitu Manis javanica atau dikenali sebagai Malayan pangolin.
ANAK tenggiling yang diletakkan di atas tangan Ernita tidak bergulung kerana ia sudah biasa disentuh manusia.



Biarpun terdapat undang-undang mengenainya, akhbar masih kerap melaporkan berita rampasan tenggiling di pintu-pintu sempadan negara hampir setiap bulan.
Menurut Joil, tangkapan yang paling besar setakat ini berlaku di Kelantan pada 2 Jun 2012, sebanyak 155 ekor tenggiling yang masih hidup dirampas.
“Keadaan kawasan penyimpanan sangat menyedihkan kerana berbau teramat busuk dengan bau najis tenggiling yang tidak dibersihkan,” cerita Joil sambil menggelengkan kepala.
Seramai tiga orang lelaki ditangkap iaitu dalam lingkungan umur 20-an hingga 30-an di sebuah rumah kongsi yang salah satu biliknya dijadikan stor penyimpanan tenggiling.
Pihak Perhilitan melakukan kerjasama dengan banyak agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam, Maritim Malaysia (APMM), Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) bagi membanteras penyeludupan hidupan liar.
Selalunya, Joil akan terus ke tempat kejadian apabila terdapat tangkapan bagi memastikan kesahihan haiwan yang ditangkap sebagai bukti di mahkamah nanti.
Malaysia dianggap sebagai negara transit dari negara asal sebelum dijual di negara-negara yang terdapat permintaan tinggi terhadap tenggiling.
Dijual kepada peraih
Terdapat beberapa jenis golongan yang terlibat dengan tangkapan tenggiling itu. Antaranya ialah pekerja-pekerja ladang yang bekerja separuh masa dengan menangkap tenggiling pada waktu malam.
Ia disimpan dan dikumpul sebelum dijual kepada peraih. Peringkat peraih merupakan golongan yang paling licik kerana mereka melakukan aktiviti penyeludupan secara terancang.
Jalan penyeludupan pula meliputi semua laluan yang ada sama ada laut, udara dan darat. Terdapat beberapa titik panas yang menjadi tempat pendaratan berdasarkan maklumat hasil risikan dan intipan.
Bagaimanapun, Joil menolak untuk memberitahu kawasan-kawasan tersebut kerana ia merupakan rahsia risikan dan tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan berlaku perubahan cara penyeludupan.
Kemudian, tenggiling yang masuk ke Semenanjung Malaysia dieksport ke negara-negara yang mempunyai pasaran menggunakan kargo laut dan udara.
Kaedah yang digunakan penyeludup juga telah berubah daripada pengumpulan tenggiling secara tetap kepada cara pengumpulan secara runcit akibat stor-stor haram kerap diberkas Perhilitan.
Antaranya, penyeludup melakukan pengubahsuaian pada kereta supaya boleh bergerak dari satu lokasi ke tempat lain dan bertukar jenama kereta semata-mata mahu mengelirukan pihak berkuasa.
“Terdapat satu kes yang berlaku pada tahun 2009, but kereta yang ditahan dilengkapi dengan kipas angin dan perenjis air,” ujar Joil.
Mereka juga mempunyai hubungan antarabangsa yang akan menerima tenggiling apabila berjaya diseludup. Para penyeludup juga mendapat bantuan tonto yang sentiasa memantau pergerakan pihak berkuasa.
Akui Joil, kebanyakan penyeludup mengetahui sifat semula jadi tenggiling melalui pemerhatiannya terhadap keadaan haiwan tersebut ketika dirampas.
Bergulung bila diancam

ANAK tenggiling berdepan risiko kematian yang tinggi jika tidak disusukan.


“Tenggiling tidak akan melawan dan bergulung apabila berdepan dengan ancaman. Jadi, ia mudah ditangkap dan disimpan dalam guni biru dengan ketat supaya tidak lari.
“Perkara tersebut menyebabkan kuku-kuku tenggiling yang mencengkam menjadi rosak, lapar, kotor dan ada yang mati,” kata Joil menggambarkan keadaan tenggiling ketika rampasan berlaku.
Ubah suai stor penyimpanan dan but kereta pula bertujuan supaya kebarangkalian untuk tenggiling diseludup dalam keadaan hidup adalah tinggi. Tenggiling hidup dijual pada harga yang mahal.
Namun, bangkai haiwan pendiam itu juga ada harga kerana sisiknya dikatakan boleh menjadi ubat tradisional yang mujarab.
Melalui pengamatan Joil yang telah terlibat dalam penguatkuasaan sejak 2006 dan pegawai pengecaman setahun lalu, dia yakin Malaysia merupakan negara transit.
Tambahnya, trend penyeludupan adalah hampir sama setiap tahun namun, terdapat sedikit penurunan sejak kebelakangan ini selepas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dikuatkuasakan yang membolehkan mana-mana individu memiliki atau menyimpan lebih 20 ekor, jika boleh disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000. Atau dengan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Tenggiling yang dirampas akan dijadikan bahan bukti dan dilepaskan di Taman Negara atau di Paya Wetlands, Dengkil,” katanya Joil.
Mengikut kajian Traffic Southeast Asia (Traffic), tenggiling dibawa masuk dari Indonesia ke sini dan pembekal-pembekal tempatan dikumpul bersama sebelum dihantar ke Thailand.
Dari Thailand, tenggiling-tenggiling yang diseludup dibawa ke Vietnam dan China yang merupakan pasaran besar haiwan tersebut. Traffic merupakan sebuah badan yang memantau aktiviti penyeludupan haiwan terancam di dunia.
Pegawai Program Kanan Traffic, Noorainie Awang Anak berkata, rampasan yang dilakukan di sempadan Malaysia dan Thailand menjadi bukti terdapat perdagangan melintasi sempadan berlaku.
Rampasan
TENGGILING ini antara yang berjaya diselamatkan daripada penyeludupan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar di Phnom Tamao, Kemboja.



Tenggiling telah berkurun lama didagangkan di Asia. Sekitar tahun 50-an dan 60-an, terdapat rekod sebanyak 10 tan haiwan tersebut dieksport dari Kepulauan Borneo.
Antara tahun 2000 hingga 2012, Traffic menganggarkan lebih kurang 69,000 tenggiling telah dirampas oleh agensi penguat kuasa di seluruh Asia Tenggara.
“Daripada jumlah itu, 11,000 ekor dirampas di Malaysia termasuk Sabah,” kata Noorainie melalui e-mel yang dihantar kepada Kosmo!
Data tersebut didapati daripada kajian terhadap laporan berita mengenai rampasan tenggiling di Asia Tenggara. Tiada angka rasmi dan muktamad.
Perkara tersebut berlaku kerana perilaku mamalia itu yang pemalu, hidup bersendirian dan aktif pada waktu malam sahaja. Itu menyebabkan ia sukar dikaji dan tiada kajian komprehensif yang boleh dirujuk.
Namun, maklumat yang diperoleh daripada pemburu yang mendakwa ia semakin sukar didapati dan mengambil kira cara ia membiak selain rampasan dagangan yang besar mengesahkan tenggiling semakin pupus.
Tambah Noorainie, Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menyatakan bahawa populasi haiwan itu mengalami trend penurunan.
“Mengikut anggaran IUCN, tenggiling mengalami penurunan sebanyak 50 peratus sepanjang 15 tahun lalu disebabkan oleh jumlah yang diseludup untuk daging dan ubat,” ujarnya yang dipetik daripada e-mel yang dihantar.