Pelajar UUM Maut Kereta Dihempap

Pelajar UUM Maut

BUKIT KAYU HITAM — Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) maut setelah kereta yang dinaiki bersama tiga rakannya dihempap lebih 500 keping papan dari sebuah lori treler berhampiran Kompleks Kastam dan Imigresen Bukit Kayu Hitam di sini, kira-kira pukul 8.15 malam tadi.
Tan Chuan Ta, 20, dari Kajang, Selangor maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala rakan pelajarnya, Wang Zong Ching, 24, iaitu pemandu kereta; Khoo Kah Wai, 22; dan Yong Hoi Siong, 23, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Ibrahim Mohd. Yusof berkata, ketika kejadian sebuah lori treler dipandu warga Thailand membawa muatan ratusan keping papan terlanggar pembahagi jalan menyebabkan ratusan keping papan itu jatuh menghempap kereta dinaiki pelajar-pelajar tersebut.
Katanya, Chuan Ta yang duduk di tempat duduk belakang sebelah kanan tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Dia dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.
“Tiga rakan yang lain hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di HJ (Hospital Jitra),” kata Ibrahim kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori berkenaan melarikan diri ke negaranya selepas kejadian itu dan polis sedang berusaha mengesannya Ibrahim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) 1987.
Empat sahabat itu dalam perjalanan pulang ke UUM selepas menikmati makan malam di sebuah restoran di Pekan Danok yang bersempadan dengan Bukit Kayu Hitam. — BERNAMA