Tiada Mangsa Korban Tanah Runtuh Di Jabor


Tiada Mangsa Korban Tanah Runtuh Di Jabor
KEMAMAN – Jalan masuk utama Jabor-Jerangau ke Air Puteh di Kilometer 139 kini sudah boleh digunakan selepas kerja membaik pulih jalan terbabit yang terjejas akibat runtuhan tanah awal pagi ini selesai dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Che Suza Che Hitam ketika dihubungi Bernama berkata, jalan tersebut dibuka kira-kira 5 petang ini dan turut terbabit dalam runtuhan tanah itu ialah sebuah lori dan lima kenderaan jenis sedan.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan kini jalan sudah boleh dilalui semua jenis kenderaan,” katanya.
Katanya dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi ini tebing jalan setinggi 12 meter runtuh dan menimbusi jalan sepanjang 50 meter.
Menurutnya runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat sehingga menyebabkan berlaku pergerakan tanah. – BERNAMA