Awas! Taktik Penjenayah Cabul Gadis Di Tengah Jalan


Hanya dengan memberi alasan tayar motosikalnya goyang, seorang remaja perempuan nyaris menjadi mangsa lelaki ‘gila seks’ apabila diraba dan cuba dicabul di pondok bas di Jalan Semenyih, Selasa lalu.
Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun baru pulang dari kolejnya di ibu kota dengan menunggang motosikal berseorangan ke rumahnya yang terletak di Taman Tasik Kesuma, di sini.

Gambar Hiasan: Penunggang motorsikal perempuan terdedah kepada pelbagai bahaya di atas jalan
Disebabkan hujan dan jalan licin, mangsa menunggang motosikal perlahan sebelum dihampiri seorang lelaki menaiki motosikal dan meminta dia memberhentikan motosikalnya kerana mendakwa tayarnya bergoyang.
Menurut sumber, mangsa yang terpedaya memberhentikan motosikalnya di pondok menunggu bas dan memeriksa tayar motosikalnya sebelum lelaki itu pura-pura mahu membantu.
“Mangsa yang tidak mengesyaki niat buruk lelaki terbabit hanya mengikut arahan dan memerhatikan tingkah laku lelaki itu yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu menolongnya,” katanya.
Bagaimanapun, lelaki terbabit tiba-tiba mendekati mangsa sebelum menarik tangan mangsa dan mengajaknya berbual sebelum bertindak lebih drastik apabila cuba memasukkan tangannya ke dalam seluar mangsa.
Mangsa yang terkejut diperlakukan sedemikian menepis tangan lelaki itu sebelum mendapatkan motosikalnya dan beredar dari tempat kejadian.
P/S: Nasib baik penjenayah tu berseorangan, kalau berdua, atau bertiga? Nauzubillah. Kaum wanita kena berhati-hati dengan taktik penjenayah yang baru ni.