Ibu Tunggal Curi Lembu Ditahan


KUALA TERENGGANU – Seorang ibu tunggal enam anak antara empat orang yang ditahan ketika cuba melarikan dua ekor lembu milik penduduk kampung di jirat Cina Jalan Pusara, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, janda berusia 30 tahun dari Kampung Paya, Balai Besar, Dungun, itu ditahan bersama kekasihnya yang berusia 47 serta dua lagi rakan mereka yang berusia 48 dan 23 tahun ketika mereka cuba memasukkan haiwan itu ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), jenisNaza Ria.
Menurut sumber, perbuatan keempat-empat suspek itu disedari seorang lelaki yang secara kebetulan melalui kawasan berkenaan.
Ibu Tunggal Curi Lembu

“Pemuda itu, yang juga anak seorang anggota polis di Balai Polis Kuala Terengganu, telah ternampak kelibat empat orang dalam keadaan mencurigakan di kawasan kubur berkenaan. Dia lalu menghubungi polis,” katanya.
Menurutnya, ketika disoal siasat, kesemua suspek mengaku hendak mencuri dua lembu milik penduduk kampung untuk dijual dengan harga RM500 seekor bagi anak lembu sementara RM7 sekilogram bagi daging lembu yang siap diproses.
Beliau berkata, polis turut menemui beberapa peralatan termasuk dua batang besi tajam, pisau dan tali dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.
Selain itu, katanya, cukai jalan MPV Naza Ria dipercayai milik salah seorang daripada mereka yang digunakan untuk membawa haiwan ternakan itu turut tamat tempoh.
Difahamkan, keempat-empat suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau iaitu penyalahgunaan dadah dan mencuri serta hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan tangkapan berkenaan ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Ahad depan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – Sinar Harian Online