Mat Yo Bayar RM250,000 Saja

Mat Yo Bayar RM250,000 Saja

JOHOR BAHRU – Bayaran tebus kontrak yang akan dilunaskan penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ialah RM250,000, bukan RM400,000.


Pengesahan itu dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam.
Mat Yo tak pernah berdiam diri. Pemain Paling Bernilai itu sudah melantik peguam untuk melangsaikan hutang berkenaan mengikut ketetapan yang diputuskan Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), baru-baru ini.
Mengikut Artikel 39.2, jumlah maksimum yang ditetapkan kepada mana-mana pemain yang berpindah ke pasukan baru ialah RM250,000.
Agak pelik apabila Kelantan menuntut sehingga RM400,000. Justeru, saya nasihatkan penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa supaya jangan ambil kesempatan…kenapa hendak berlebih-lebih bila FAM kata bayar seperti yang ditetapkan maka itulah jumlah akan dibayar, katanya, semalam sebagai mengulas kenyataan Annuar kelmarin bahawa Mat Yo masih belum melunaskan hutang kepada KAFA selepas berpindah ke Johor Darul Takzim.
Bayaran sepatutnya dibuat dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pendaftaran bersama pasukan baru, namun sehingga kini KAFA masih belum menerima bayaran daripada pemain berkenaan.
Tunku Ismail berkata, beliau membuat kenyataan ini kerana berasa terpanggil untuk membetulkan keadaan.
Apa yang PBNJ lakukan mengikut peraturan. Nasihat saya kepada Annuar janganlah politikkan bola sepak. Yang saya tahu, Mat Yo tidak menerima sebarang surat dari KAFA berhubung tuntutan tebus kontrak itu.
Sementara itu, Mat Yo berkata dia menyerahkan soal bayaran tebus kontrak berkenaan kepada peguam yang dilantik.
Saya tidak mahu ulas lanjut, biar peguam saya yang uruskan kerana tumpuan saya untuk memberi sepenuh komitmen pada persiapan Johor Darul Takzim menjelang pertemuan menentang Pahang, Selasa ini, katanya. – BHarian