Pahang Terus Gah Dengan Di Persada Liga Super


Pahang - Felda United

KUALA LUMPUR – Pahang membuktikan bahawa kemenangan ke atas pasukan Johor Darul Takzim Selasa lepas bukan sekadar nasib apabila mengulangi kecemerlangan dengan mengalahkan Felda United 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, malam ini.

Pemain import Mohamed Borji dari Maghribi menjadi wira pasukan Pahang apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-90, sekali gus membantu skuad ‘Tok Gajah’ menghuni persada liga dengan enam mata penuh.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, pasukan Johor Darul Takzim menampilkan persembahan yang lebih bertenaga untuk meraih kemenangan pertama dengan mengalahkan Perak 1-0.
Pasukan Johor Darul Takzim, yang dianggap Harimau Selatan dengan deretan pemain bertaraf lima bintang, hanya mampu menjaringkan tunggal menerusi Mohd Addil Zafuan Abdul Radzak pada minit ke-47.
Sebelum ini, pada perlawanan pertama, Johor Darul Takzim, di bawah bimbingan Fandi Ahmad, kalah mengejut 2-3 kepada Pahang.
Pada pertemuan malam ini, penguasaan permainan oleh kedua-dua pasukan seimbang sebelum Johor Darul Takzim berjaya mengutip mata penuh menerusi jaringan tunggal.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Terengganu dan tuan rumah Negeri Sembilan berkongsi mata apabila mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan.
Perlawanan pada babak pertama agak seimbang apabila kedua pasukan masing-masing melakukan cubaan namun gagal memperolehi jaringan disebabkan oleh penyudah yang tumpul sehingga ke akhir perlawanan.
Sementara itu, pada perlawanan Liga Perdana, Sarawak mencacat kemenangan besar setelah membelasah UiTM FC 5-0 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching.
Gol Sarawak dijaringkan oleh Bobby Gonzales (minit ketiga dan ke-61), Ivan Babic (minit ke-43), Joseph Kalang Tie (minit ke-60) dan Guy Bwele pada minit ke 72.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mencatat kemenangan selesa apabila mengalahkan Kuala Lumpur 4-0.
Di Stadium Hang Tuah, Melaka, Johor menumpaskan NS Betaria 2-0 menerusi jaringan Farid Ideris pada minit ke-65 dan Juan Muriel pada minit ke-84.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pendatang baharu, S.P.A Putrajaya FC berjaya menebus kembali kekecewaan lepas apabila mengalahkan Perlis 4-2.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby mengumpul tiga mata pertama dengan mengatasi Sabah 3-1.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pasukan tuan rumah Kedah menang tipis 1-0 ke atas Pos Malaysia. – BERNAMA