Piala Sumbangsih: Siapa Penjaga Gol Red Warriors?

 Piala Sumbangsih: Siapa Penjaga Gol Red Warriors?

KOTA BHARU – Ketiadaan dua penjaga gol pengalaman Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Shahrizan Ismail sedikit pun tidak merencatkan fokus Kelantan menghadapi saingan ATM pada perlawanan Piala Sumbangsih, malam ini.

Aksi yang akan dipertontonkan di Stadium Shah Alam itu bakal menyaksikan salah seorang daripada dua penjaga gol muda milik Kelantan diturunkan Ketua Jurulatih, Bojan Hodak.
Timbalan Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.net), Mahizi Mahmod berkata, mana-mana sama ada Muhammad Syazwan Yusoff atau Norhadi Ubaidillah, kedua-dua mereka mempunyai kelebihan dan kemahiran tersendiri.

Katanya, walaupun Muhammad Syazwan dilihat lebih menonjol kerana pengalaman beraksi dalam perlawanan penting musim terdahulu, kemampuan yang dimiliki Norhadi juga tidak boleh dinafikan.
“Kedua-dua mereka sama hebat. Muhammad Syazwan pernah bermain bersama Kelantan untuk Piala Presiden dan Liga Super. Cuma, beliau perlu berusaha untuk mendapatkan rentak permainan selepas pulih daripada kecederaan.
“Manakala Norhadi pula, walaupun hanya memanaskan bangku simpanan ketika bersama Kelantan 2011 lalu, kini beliau mula menunjukkan keserasian bersama pasukan pada banyak perlawanan persahabatan yang diadakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Menurutnya, para peminat percaya akan kebijaksanaan Bojan menyusun strategi menurunkan barisan pemain termasuk penjaga gol yang akan membawa tuah kepada pasukan The Red Warriors (TRW) malam ini.
“Tanggungjawab dua penjaga gol ini ialah merebut peluang keemasan sebaik mungkin dengan mempamerkan prestasi cemerlang pada perlawanan penting ini untuk mendapatkan kepercayaan daripada jurulatih serta semua yang terlibat dengan TRW terutamanya para peminat,” katanya.
Sementara itu beliau turut mengingatkan supaya para penyokong pasukan Kelantan untuk terus memberi suntikan semangat kepada mana-mana penjaga gol yang akan beraksi malam ini.
“Ingat, jika mereka tersalah langkah, jangan terus menghukum kerana aksi malam ini ialah aksi pertama mereka membabitkan pertemuan dengan pasukan kuat seperti ATM,” katanya.
Keputusan menurunkan Muhammad Syazwan atau Norhadi malam ini bergantung pada Bojan selepas Khairul Fahmi atau Apex tidak dapat diturunkan kerana melangsungkan Majlis Sambut Menantu di rumah keluarganya di  Cherang, manakala Mohd Shahrizan Ismail pula terpaksa berehat kerana masalah kesihatan. – SinarHarian