Tiga Penunggang Motosikal Nyaris Maut Dirempuh Lori

 Tiga Penunggang Motosikal Nyaris Maut Dirempuh Lori

GEORGE TOWN – Tiga penunggang motosikal nyaris maut apabila sebuah lori pasir merempuh kenderaan yang dinaiki ketika mereka menunggu lampu isyarat di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini Rabu.
Sumber polis berkata pada kejadian pukul 9.30 pagi itu, sebuah lori pasir dipercayai dipandu laju dan tidak sempat berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum merempuh tiga motosikal di hadapannya.
“Dua daripada mangsa termasuk seorang wanita diseret beberapa meter ke hadapan dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk patah kaki. Sementara seorang lagi lelaki hanya cedera ringan,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata kesemua mangsa termasuk pemandu lori dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Seorang mangsa yang cedera ringan, Mohamed Nasir Abdul Rahman, 40, berkata semasa kejadian beliau dan dua penunggang motosikal lain tidak sempat mengelak kerana lori datang secara mengejut. – BERNAMA