5 maut gempa gegar Kepulauan Solomon


Tsunami kecil
Tsunami kecil melanda kepulauan Soloman, hari ini.
HONIARA - Sekurang-kurangnya lima terbunuh gempa bumi kuat berukuran 8 skala Richter menggegar Kepulauan Solomon sehingga mencetuskan tsunami kecil, hari ini.



Gempa dasar laut itu menyebabkan ombak setinggi satu kaki membadai sebahagian daripada kepulauan itu termasuk Vanuatu dan New Caledonia.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik menarik balik amaran di wilayah membabitkan negara di kepulauan Pasifik pada jam 3.50 pagi (waktu tempatan) iaitu kira-kira dua setengah jam selepas gempa kuat melanda Kepulauan Santa Cruz di Solomon.
Tsunami kecil
Orang ramai pulang ke kediaman masing-masing selepas amaran tsunami ditarik balik di Australia.

Amaran tsunami itu turut dikeluarkan bagi Vanuatu, Nauru, Papua New Guinea, Tuvalu, New Caledonia, Kosrae, Fiji, Kiribati, Wallis dan Futuna.

Pemantauan tsunami turut membabitkan Amerika Samoa, Australia, New Zealand dan timur Indonesia.

Pesuruhjaya Polis Kepulauan Solomon John Lansley berkata, lima kematian dicatatkan setakat ini termasuk seorang kanak-kanak di Santa Cruz dengan 80  kediaman di empat kampung disahkan musnah.

"Mangsa maut terdiri daripada seorang kanak-kanak tiga wanita dan seorang lelaki," katanya.

Menurutnya, angka korban dijangka meningkat memandangkan pihak berkuasa menerima banyak laporan orang hilang sejak awal kejadian itu.

"Kami mengarahkan penduduk berpindah ke kawasan tinggi dan anggota keselamatan meningkatkan langkah keselamatan berkuat kuasa serta merta selama 24 jam," katanya.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, lebih tiga dozen gegaran susulan pada kuatan sehingga 6.6 magnitud menggegarkan rantau ini dalam tempoh sejam selepas gempa bumi.
Pengarah Kejururawatan Hospital Lata, Augustine Pilve berkata, lima orang telah terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, sambil menambah berkemungkinan lebih banyak mangsa terbunuh yang melibatkan sekurang-kurangnya tiga kampung.
"Ini mungkin kerana kampung-kampung lain di sepanjang pantai Santa Cruz mungkin terjejas," katanya.