Padah akibat perompak salah pilih mangsa

Perompak salah pilih mangsa
TAIPING – Cubaan empat lelaki merompak rumah bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Abd Jalil Abd Wahab membawa padah apabila salah seorang daripada mereka mati ditembak dalam kejadian jam 3 pagi, kelmarin.

Perompak salah pilih mangsa
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd Ismon Suratman ketika menunjukkan keadaan pagar yang dipotong suspek bagi membolehkan mereka masuk ke rumah mangsa.
Perompak salah pilih mangsa
Menantu mangsa menunjukkan keadaan kedua-dua tangannya diikat suspek.
Perompak salah pilih mangsa
Menantu mangsa menunjukkan kesan umpil pada gril.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah yang mengesahkan kejadian memaklumkan, empat suspek berkenaan dipercayai warga Indonesia, cuba memecah masuk melalui pintu gril di bahagian tepi rumah.

Menurutnya, sejurus berjaya memecah masuk, tiga suspek masuk ke bilik di tingkat atas rumah yang menempatkan anak perempuan, menantu dan dua cucu mangsa.

“Semua suspek bertopeng kemudian membawa turun anak perempuan dan menantu mangsa serta mengugut untuk cederakan mereka.

“Sementara itu, seorang lagi suspek cuba membuka pintu bilik Abd Jalil dan isterinya, namun Abd Jalil yang terlebih dahulu melihat sebilah parang dihulur melalui tepi pintu bilik telah melepaskan dua das tembakan,” katanya.

Beliau berkata, satu daripada dua das tembakan dari pistol jenis SMW .38 (Smith Wesson) milik Abd Jalil mengenai bahagian perut suspek yang berusia 41 tahun.

Menurutnya, semua suspek kemudiannya melarikan diri dan mayat suspek yang berjaya ditembak ditemui 100 meter dari rumah pada jam 6 pagi, manakala tiga lagi berjaya meloloskan diri.

“Kita turut menjumpai satu pisau lipat dan pemutar skru, dipercayai diguna untuk memecah masuk rumah bersama suspek yang berjaya ditembak. Keempat-empat suspek telah memotong pagar di tepi rumah untuk membolehkan mereka masuk ke dalam kawasan rumah tersebut.

“Kesemua suspek dipercayai baru memasuki negara ini pada 31 Januari lalu dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mangsa minta tolong

Abd Jalil memberitahu, dia serta isteri, Azizah Saad, 61, mula merasa tidak sedap hati selepas mendengar anak perempuan mereka merintih meminta tolong.

“Mama tolong...mama tolong,” begitulah rintihan yang keluar daripada mulut anak perempuan Abd Jalil, Jazlina, 26, yang dipercayai dijadikan umpan oleh suspek untuk memujuk ibu dan ayahnya keluar dari bilik mereka di tingkat bawah.

Abd Jalil menceritakan, sejurus mendengar suara anak perempuannya, beliau dan isteri merasa sesuatu tidak kena dan tidak jadi membuka pintu bilik, sebaliknya menghidupkan kamera litar tertutup (CCTV) serta mengambil pistol yang berada di bahagian tepi katil.

“Semasa kejadian, saya serta enam anggota keluarga lain, termasuk seorang pembantu rumah sedang nyenyak tidur. Tiga suspek naik ke tingkat atas dan mengikat menantu saya, Adi Hafiz Mohd Yusuf, 34, menggunakan wayar seterika manakala seorang cucu, Arif Syazwan Mohd Sharif, 12, diikat menggunakan kain tudung.

“Suspek berjaya membuka sedikit pintu bilik saya dan saya sendiri ternampak parang yang dipegangnya. Kesempatan itu saya guna untuk melepaskan dua das tembakan ke arah suspek,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Pegawai Kerajaan, Assam Kumbang, semalam.

Beliau bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan hanya dua telefon bimbit serta dua utas jam tangan berjaya dilarikan suspek.

sumber