Sindiket 'Love Scam' Di Melaka Tumpas, 9 Warga Asing Ditahan

Suspek berjanji untuk mengahwini mangsa dan menggunakan ayat-ayat manis dan cinta untuk memperdaya mangsa sebelum mangsa membuat transaksi pertama sebanyak US$6,000 (RM18,467) pada Mac tahun lepas ke sebuah akaun bank tempatan milik warga tempatan..


KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket penipuan internet (Love Scam) terdiri daripada tujuh lelaki warga Afrika dan dua wanita Filipina selepas seorang wanita warga Hong Kong kerugian hampir RM200,000 ditipu sindiket terbabit tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata kesemua mereka berumur antara 25 dan 37 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sebuah pangsapuri di Bukit Beruang, Melaka pada pukul 12.25 pagi ini.

Syed Ismail berkata mangsa berumur 37 tahun dan menetap di Hong Kong itu berkenalan dengan seorang anggota suspek yang menyamar sebagai lelaki Inggeris melalui sebuah laman web sejak awal tahun lepas.

"Suspek berjanji untuk mengahwini mangsa dan menggunakan ayat-ayat manis dan cinta untuk memperdaya mangsa sebelum mangsa membuat transaksi pertama sebanyak US$6,000 (RM18,467) pada Mac tahun lepas ke sebuah akaun bank tempatan milik warga tempatan," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu beberapa bulan selepas berkenalan dengan suspek sebelum membuat laporan polis melalui e-mail kepada JSJK Bukit Aman pada 27 Disember tahun lalu.

"Mangsa juga datang ke Malaysia semalam untuk memberi segala maklumat tentang suspek sebelum polis berjaya menahan kesemua suspek," katanya.

Dalam serbuan malam tadi polis merampas sembilan unit komputer riba, 23 buah telefon bimbit pelbagai jenama serta pasport.

Kata Syed Ismail siasatan mendapati kesemua suspek merupakan pelajar kolej swasta di Melaka serta Kuala Lumpur dan telah tamat tempoh menginap di Malaysia.

"Suspek ditahan reman bermula hari ini bagi siasatan lanjut," katanya


sumber