Seorang penjawat awam ditembak dan isterinya dilarikan penyamun

Gambar Hiasan Carian Google
Gambar Hiasan Carian Google


SHAH ALAM 5 Jan. – Seorang penjawat awam bukan sahaja cedera di bahagian perut akibat ditembak dua penjenayah tetapi keretanya turut dilarikan bersama isterinya dalam kejadian samun di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Puchong semalam.
Mangsa Nazaruddin Mat Ali @ Ibrahim, 35, yang bertugas di Kuantan, Pahang ketika itu dalam perjalanan dari Shah Alam ke Semenyih dengan menaiki kereta bersama isterinya, Alawiyah Harun, 35.
Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, kereta Nazaruddin telah dilanggar dari belakang oleh dua suspek lelaki yang menaiki kereta menyebabkan mangsa berhenti dan keluar daripada kenderaannya.
Sebaik sahaja keluar, suspek terus meluru memasuki kereta mangsa dan ketika Nazaruddin cuba menariknya keluar, lelaki itu mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan menyebabkannya rebah di atas jalan raya.
Suspek seterusnya melarikan kereta mangsa bersama isterinya sebelum wanita berkenaan diturunkan berhampiran Petronas Bangi dan diselamatkan oleh anggota polis.
Barangan milik isteri mangsa seperti rantai leher, gelang tangan dan dua telefon bimbit disamun.
Kereta mangsa yang dilarikan ditemui semula di Jalan Persiaran, Bangi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.
Katanya, mangsa kini stabil dan menerima rawatan di Hospital Serdang manakala isteri mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
- Utusan Melayu